Biografi P. Ramlee, Seniman Agung Asal Malaysia

Biografi P. Ramlee

Biografi P. Ramlee, Seniman Agung Asal Malaysia – Baru-baru ini ketika di hari minggu, saya meluangkan waktu menonton filem Tan Sri P. Ramlee yaitu Pendekar Bujang Lapok. Walaupun cerita ini sering kali diulang tayang dalam kaca televisyen tetapi jauh sekali saya merasa jemu. Kerana setiap sentuhan seniman agung ini begitu hebat dan berbakat dalam menghasilkan karya-karya bermutu serta berkualiti yang tidak lapuk di telan zaman. Filem arahannya sangat dekat dalam kehidupan masyarakat. 

Hal ini menjadikan karya beliau masih relevan sampai sekarang dan namanya sentiasa segar dalam ingatan sehingga kemasyhuran beliau menjangkau ke Asia Tenggara, termasuk Brunei, Indonesia, Hong Kong dan Jepun.

Biodata Tan Sri P. Ramlee

Sebelum membaca lebih lanjut sosok P. Ramlee. Di bawah ini saya melampirkan biodata ringkas mengenainya.

Nama Lengkap AsliTeuku Zakaria Teuku Nyak Puteh
Nama Dunia SeniP. Ramlee
Tempat LahirGeorge Town, Pulai Pinang
Tanggal Lahir22 Mac 1929
BapaTeuku Nyak Puteh
IbuChe Mah Hussein
SaudaraSyeikh Ali Muhammad (abang seibu)
Isteri– Junaidah Haris  (k. 1947; c. 1953)
– Noorizan Mohd. Noor (k. 1955; c. 1961)
– Saloma (k. 1961; m. 1973)
Pendidikan– Sekolah Melayu Kampung Jawa
– Francis Light English School (1939-1941)
– Japanese Navy School (Kaigun Gakko)
– Penang Free School (1945-1947)
ProfesiPenyanyi, pelakon, pengarah, pemuzik dan penulis lagu
Meninggal Dunia29 Mei 1973

Biografi P. Ramlee

Permulaan Penglibatan

Menyusuri kehidupan P. Ramlee ini kita dapat melihat beliau mula meminati bidang muzik tatkala melihat teman-teman sekampungnya bermain alat muzik. Hal ini menerbitkan tekad untuk mula mengumpul wang demi membeli sebuah Biola. Apabila melangkah masuk ke Japanese Navy School, beliau pernah memikul tugas sebagai ketua dalam satu batalion seramai 150 orang.

Baca juga: Biografi Usmar Ismail, Pahlawan Kebangkitan Perfilman Tanah Air

Ketika pertunjukan pentas diadakan pada malam hujung minggu, P. Ramlee sering di undang untuk mendendangkan beberapa buah lagu. Kerana sekolah itu mempunyai sistem pendidikan Jepun maka tidak hairanlah beliau fasih bahasa Jepun dalam jangka waktu yang singkat. Maka, pihak Jepun telah menghantarnya ke serata tempat bagi mencungkil dan mengasah bakatnya.

Suatu hari ketika beliau menyertai Orkes Teruna Sekampung, seorang lelaki bernama Encik Kamarudin begitu mengagumi kemahiran yang dimiliki oleh P. Ramlee yang mempunyai multitasking dalam bermain Biola, pencipta lagu dan penyanyi. Lalu Encik Kamarudin telah menawarkan kepada beliau kelas bermain piano di rumahnya.

Secara ringkasnya penglibatan awal P. Ramlee yang dilihat sangat terserlah bakatnya dalam berbagai bidang seni menjadikan pada tahun 1948, B.S. Rajhans yang merupakan pengarah dalam Shaw Brothers mula mengesan bakat P. Ramlee ketika persembahan di adakan di Pulau Pinang. Setahun selepas itu, P. Ramlee menyertai Malay Film Production sebagai penyanyi latar. 

Setelah melalui berbagai siri dari Singapura seterusnya pergi ke uji bakat akhirnya pada tahun 1948 buat pertama kalinya beliau terjun dalam bidang lakonan dalam filem pertamanya yaitu Chinta. Kejayaannya semakin berkembang mekar daripada lakonan seiring kerjaya muziknya turut sama bergerak ke hadapan membuatkan namanya semakin dikenali dan berada di puncak populariti. 

Senarai Filem-Filem Lakonan dan Arahan Beliau:

  1. Chinta (1948)
  2. Abu Hassan Penchuri (1955)
  3. Anak ku Sazali (1956)
  4. Antara Dua Darjat (1960)
  5. Masam-Masam Manis (1965)
  6. Penarek Beca (1955)
  7. Panca Delima (1957)
  8. Siri Bujang Lapok (1957-1961)
  9. Tiga Abdul (1964)
  10. Jangan Tinggal Daku (1971)
  11. Laksamana Do Re Mi (1972)

Senarai Lagu-lagu Beliau yang Terkenal:

  1. Azizah
  2. Getaran Jiwa
  3. Aci-Aci Buka Pintu
  4. Di Mana Kan Ku Cari Ganti
  5. Jeritan Batinku
  6. Air Mata Di Kuala Lumpur

Kegemilangan namanya dalam lakonan dan nyanyian terbukti melalui penerimaan anugerah dan penghargaan. Dari tahun 1945 sehingga ke tahun 1965 pelbagai penganugerahan telah diterima oleh beliau baik dari segi bidang lakonan, pengarah, dan nyanyian. Antara penghargaan yang diberikan oleh negara Malaysia kepada sosok hebat ini adalah Ahli Mangku Negara (AMN), Panglima Setia Mahkota (PSM), P. Ramlee juga menerima anugerah Seniman Agung secara anumerta dan di negeri Sarawak pula mendapat penghargaan Datuk Amar. Fakta paling menarik tentang beliau juga adalah dialah orang pertama yang dianugerahkan dengan anugerah: “The Most Versatile Talent”.

Penghujung Karier P. Ramlee

Banyak kisah hebat tentang P. Ramlee telah kita baca, dengar dan diperkatakan oleh segenap masyarakat. Lakonannya yang mantap dan bersahaja berjaya mencuit hati peminat-peminatnya yang datang dari berbagai negara. Kemerduan suaranya ketika bernyanyi menuang kekaguman kepada para pendengar. Namanya yang menjadi sanjungan orang ramai yang datang daripada berbagai bangsa, umur dan pangkat membuatkan insan ini seorang lagenda dalam industri tempatan.

Baca juga: Biografi Abdoel Moeis, Seorang Wartawan, Politikus, dan Sastrawan

Namun, setiap yang naik akan turun pada akhirnya. Begitulah adab kehidupan yang berputar seperti roda. Kemasyhurannya semakin malap dibawa arus masa dan perkembangan sekitar. Perjalanan sebagai anak seni semakin diambang kejatuhan. Lagu dan suaranya dianggap ketinggalan zaman. 

Syarikat rakaman Emi mengaut begitu banyak keuntungan hasil nyanyiannya sekaligus menamatkan kontraknya dan beberapa pihak lain juga telah melakukan hal yang serupa. Beliau juga pernah dijemput oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk ‘Konsert 3 Ramlee’ tetapi hal paling mengejutkan dirinya adalah penonton secara beramai-ramai telah ‘boo’ beliau yang berada di atas pentas ketika sedang melakukan persembahan. 

Terdapat banyak lagi susur kepahitan yang dilalui oleh beliau ketika penghujung kariernya. Bagaimana insan yang pernah disanjung bagai setinggi langit, akhirnya dibiarkan sepi. Pada tarikh 29 Mei 1973, P. Ramlee telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya dalam usia 44 tahun. Pemergiannya tidak akan pernah terganti kembali. Walaupun jasad dan jiwa bertemu Ilahi namun nama dan tinggalan karya-karyanya akan sentiasa abadi. Al-Fatihah.

Editor: Firmansah Surya Khoir
Illustrator: Salman Al Farisi

Bagikan di:

Artikel dari Penulis